Harga Pasir Naik, Pemimpin PAS Fikir Dengan Kepala Lutut?

‘Kerajaan PAS Kelantan kena fitnah’.

Itu intipati utama sidang akhbar Exco Kerajaan PAS Kelantan yang menjaga hal ehwal infrastruktur, utiliti dan teknologi maklumat, Datuk Hanifa Ahmad baru-baru ini.

Sidang akhbar itu diadakan khas bagi menjawab isu kenaikan harga pasir yang meningkat sekali ganda selepas ura-ura Kerajaan PAS Kelantan mahu menamatkan kontrak 77 pengusaha pasir di negeri itu dan memberikannya kepada beberapa pengusaha sahaja.

Kata Hanifa, Kerajaan PAS Kelantan tidak ada kena mengena dengan kenaikan harga pasir itu dan siapa yang menyebarkan fitnah bahawa Kerajaan PAS Kelantan yang menjadi penyebab kenaikan harga pasir akan dikenakan tindakan atau bahasa mudahnya mungkin disaman di mahkamah.

Mudah bagi Kerajaan PAS Kelantan, untuk menutup mulut pengkritik dengan saman. Dan sememangnya itu menjadi kaedah Kerajaan PAS Kelantan sejak dahulu sehingga kini. Tidak ada siapa yang boleh tegur dan kritik, seolah-olah mereka begitu maksum.

Adalah lebih baik wang yang digunakan untuk membayar peguam digunakan untuk membantu rakyat daripada membazir tidak tentu hala kerana tidak ada siapa pun yang akan mendapat untung.

Berbalik kepada isu pokok iaitu harga pasir melambung tinggi. Memang benar Kerajaan PAS Kelantan tidak menaikkan harga tersebut tetapi sedarkah, mereka adalah pembuat dasar yang secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan semasa.

Mahu atau tidak, perlu diakui dasar baharu sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada rakyat. Sebagai contoh, jika kini terdapat 77 pengusaha pasir maka akan wujud persaingan dan rakyat akan mendapat harga dengan murah.

Sehingga kini, enam syarikat telah disenarai pendek untuk mengusahakan pasir di Kelantan. Sekiranya ini berlaku, akan wujud monopoli, kerana hanya mereka sahaja menjadi pembekal pasir di negeri itu. Sudah pasti hanya mereka sahaja yang akan menentukan harga pasir kerana tidak wujud lagi persaingan.

Kaedah tersebut dibuat dengan alasan untuk memaksimumkan kutipan hasil daripada pasir kerana sebelum ini dengan harapan pengusaha yang sikit lebih mudah dikawal daripada banyak. Apakah ini benar-benar akan berlaku?

Dakwaan Kerajaan PAS Kelantan, pengusaha ‘menipu’ tidak membayar ‘doket’ atau royalti pasir dengan menjalankan aktiviti mereka pada hari cuti umum atau cuti hujung minggu kerana pada ketika itu, pejabat tanah tutup.

Ini yang dikatakan alasan tidak logik untuk memperbodohkan rakyat. Apa yang berlaku adalah disebabkan kelemahan sistem yang boleh dibaiki. Kenapa tidak mengarahkan kakitangan bekerja secara bergilir-gilir bekerja pada cuti hujung minggu atau cuti umum bagi memastikan tidak ada lagi ‘penipuan’ atau dicari kaedah lain.

Demi untuk meyakinkan rakyat, Hanifa berjanji selepas pelaksanaan tersebut rakyat akan menikmati harga pasir yang lebih rendah daripada biasa.

Agak sukar untuk mempercayai janji tersebut kerana pengusaha boleh mencipta 1001 alasan bagi menaikkan harga dan amat jarang berlaku harga barang akan turun.

Dan untuk rekod, sejak memerintah Kelantan, sudah beratus janji yang dibuat oleh PAS tidak ditunaikan dan apakah janji kali ini boleh dipegang rakyat? Belum diberi konsensi lagi harga melambung melebihi 100 peratus!.

Hakikat sebenarnya, Kerajaan PAS Kelantan tidak kreatif untuk mentadbir. Mereka hanya mencari jalan mudah untuk menyelesaikan setiap masalah yang berbangkit tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada rakyat.

Sekali lagi diulang, pemimpin PAS adalah pelaksana dasar di Kelantan. Setiap keputusan yang dibuat memberi kesan kepada rakyat walaupun bukan mereka yang menentukan turun naik harga barang.

Kesan yang paling ketara ialah kenaikan harga rumah dan bahan binaan. Sebagai contoh, sebuah akhbar tempatan melaporkan harga seketul batal mungkin meningkat daripada RM1 kepada RM3 seketul kerana pengusaha tidak mampu untuk menampung kenaikan kos bahan mentah.

Ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada industri pembinaan di negeri itu. Maka makin ramai rakyat tidak dapat mencari makan apatah lagi peluang pekerjaan amat rendah ditambah dengan upah yang amat murah.

Fikirlah dengan mata hati bukannya dengan kepala lutut. Jangan dijadikan alasan fitnah untuk menutup kelemahan diri.