PUNB Bantu Usahawan Kelantan RM160.68 Juta

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) telah melaburkan sebanyak RM 160.68 juta kepada 645 usahawan dari 486 syarikat di negeri Kelantan sejak 1992 sehingga penghujung tahun lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada lebih RM2.56 bilion yang dilaburkan membabitkan 8,728 usahawan dari 6,158 syarikat seluruh negara.

Beliau berkata, negeri Kelantan menduduki tempat kelima daripada negeri yang paling banyak mendapat pembiayaan PUNB selepas Selangor, Wilayah Persekutuan, Kedah dan Johor.

Tambahnya, lima sektor teratas yang mendapat kelulusan pembiayaan di Kelantan adalah perkakasan dan perkhidmatan kejuruteraan; kenderaan bermotor; perniagaan.runcit; pakaian, tekstil dan perhiasan serta barang kemas dan jam.

“PUNB akan terus berperanan membantu usahawan Bumiputra mencapai kejayaan lebih besar dan berkesan dalam bidang peruncitan, pemborongan dan pengedaran.

“Ini termasuklah usahawan wanita yang juga mewakili satu pertiga daripada jumlah usahawan yang mendapat pembiayaan.

“Kita juga berharap para usahawan akan berusaha melonjakkan perniagaan ke tahap lebih tinggi termasuk menerobos pasaran luar negara khususnya negara-negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Akademi Memandu Nasrom Sdn. Bhd (AMN) dan Perjumpaan Bersama Usahawan PUNB Kelantan

Pada majlis itu juga, Mohd Ali menyerahkan pembiayaan PUNB sebanyak RM2.2 juta kepada 10 usahawan negeri itu dari pelbagai sektor perniagaan. – 18 Januari 2017.