Usaha Pasarkan Produk Tempatan Ke Luar Negara

Usahawan bumiputra seharusnya berusaha melonjakkan perniagaan untuk memasarkan produk dan teknologi tempatan ke luar negara khususnya ASEAN.
Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, pasaran ASEAN sangat besar dengan 600 juta penduduk apatah lagi dengan perkembangan ekonomi beberapa negara seperti Indonesia, Vietnam dan Kemboja.

Beliau berkata, sehingga kini hanya dua syarikat tempatan daripada lebih 6,000 syarikat yang mendapat pembiayaan PUNB berjaya memasarkan produk ke luar negara.

“Penganalisa ekonomi luar meramalkan bahawa dalam tempoh 10 tahun lagi Indonesia akan menjadi gergasi ekonomi yang baharu.

“Kita percaya ini tidak mustahil kerana rakyat Indonesia kini sudah punya pelbagai kemahiran untuk membangunkan negara malah ladang sawit mereka juga sudah mengeluarkan hasil.

“Kita harus mengambil peluang ini masuk ke Indonesia membawa teknologi dan produk yang kita sudah ada bagi mengambil manfaat daripada perkembangan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Akademi Memandu Nasrom Sdn. Bhd (AMN) dan Perjumpaan Bersama Usahawan PUNB Kelantan.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, pihak PUNB telah mengeluarkan pembiayaan RM2.56 bilion membabitkan 8,728 usahawan dari 6,158 syarikat seluruh negara sejak 1992 sehingga hujung tahun lalu.

Beliau berkata, biarpun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, prestasi pembayaran balik pinjaman adalah baik malah kira-kira 70 peratus syarikat beroleh keuntungan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Ali memberitahu pihaknya akan mengkaji model yang digunakan di Taiwan dalam memberi ‘peluang kedua’ kepada usahawan bermasalah dalam perniagaan.

“Kerajaan Taiwan melatih dan membangunkan usahawan hingga berdaya maju supaya akhirnya mereka layak untuk mendapat pinjaman bagi mengembangkan perniagaan.

“Kita akan lihat untuk terapkan model begini dalam PUNB supaya nisbah sekarang 7:10 dari usahawan memohon berjaya dapatkan pinjaman boleh kita tingkatkan kepada 9:10,” katanya. – 18 Januari 2017.