857 Rumah Kekal Baharu Siap Dibina

Sebanyak 857 Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk mangsa banjir di Kuala Krai telah siap sepenuhnya dan baki 39 lagi dijangka siap sebelum Mei ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Ab. Rahman berkata, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab membina 896 RKB di daerah berkenaan bagi membantu mangsa yang telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir luar biasa akhir Disember 2014 lalu.

“Jadi, kini hanya sembilan rumah milik individu dan 30 rumah dibina secara berkelompok di Kampung Manjor masih dalam proses untuk disiapkan.

“Kita jangkakan semua rumah ini akan siap sebelum Ramadan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci RKB secara berkelompok di Kampung Peria, Kuala Krai hari ini.

Beliau memberitahu, masalah tanah menyebabkan pembinaan RKB mengalami kelewatan namun, kerajaan terus berusaha bagi membantu mangsa terbabit.

“Ada kawasan yang kita bina RKB di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan malah kita juga perlu membeli tanah persendirian untuk membina rumah berkenaan.

“Atas sebab itu, ia mengambil masa untuk disiapkan sepenuhnya kerana kita perlu memilih tanah sesuai,” katanya. – 19 Januari 2017.