Larangan Kapcai Tidak Akan Dilaksana Jika Rakyat Bantah

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tiada larangan terhadap ‘kapcai’ (motosikal kecil) di bandaraya kuala Lumpur.

“Jangan bimbang, kami tidak akan melaksanakan larangan itu. Sebelum ini saya berkata hanya kemungkinan kita akan melarang, bukan untuk melaksanakannya,” katanya semalam.

Beliau berkata, larangan itu tidak akan dilaksanakan jika rakyat menolaknya.

Katanya, ia akan melihat kehendak rakyat sebelum melaksanakan larangan tersebut.

“Kita akan sentiasa melihat dengan cara yang betul tanpa membebankan rakyat. Saya tahu ramai orang menggunakan kenderaan jenis ini, terutama untuk ke tempat kerja, kerana ianya murah.

“Kami tidak akan berbuat demikian jika rakyat tidak setuju. Apa yang boleh kita lakukan? Kami akan ikut kehendak rakyat,” katanya.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon, motorsikal kapcai dilarang memasuki Kuala Lumpur.

Jelas Tengku Adnan, pihaknya akan melaksanakan larangan itu sekiranya harga tambang pengangkutan awam berpatutan.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jenis pengangkutan itu bukan antara penyumbang utama kepada pencemaran udara.

Katanya, cadangan tesebut perlu dikaji secara saintifik sebelum keputusan dibuat. – 19 Januari 2017.