Pasangan Suami Isteri Kasari Anggota MBSA Ditambah Hukuman Penjara Lima Bulan

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menambahkan tempoh hukuman penjara terhadap pasangan suami isteri yang dituduh mengasari anggota penguat kuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditambah kepada masing-masing lima bulan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Teck Meng, memerintahkan Lor Ka Hoo, 35, dan Tan Sit Fun, 30, menjalankan hukuman penjara itu bermula hari ini.

Tertuduh juga diperintahkan membayar denda sebanyak RM3,000 seorang dan jika gagal, diarahkan penjara tujuh hari.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, 24 November tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

Pada 25 November tahun lalu, Majistret P Sarulatha menjatuhkan hukuman penjara 14 hari terhadap pasangan berkenaan selepas mereka mengaku bersalah.

Bagaimanapun pihak pendakwa membuat rayuan menambah hukuman manakala tertuduh juga membuat rayuan meringankan hukuman Mahkamah Majistret.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Nurul Ain Isa, 23, ketika menjalankan tugas dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – 20 Januari 2017.