RKB Tamatkan Derita 40 Keluarga Mangsa Banjir

Penderitaan 40 keluarga mangsa banjir di Kuala Krai berakhir selepas dua tahun menanti apabila menerima kunci Rumah Kekal Baharu (RKB) secara berkelompok semalam.

Ia sekali gus menjadikan kehidupan mereka lebih selesa berbanding sebelum ini terpaksa tinggal di rumah transit yang saiznya agak kecil malah, ada juga yang terpaksa hidup menyewa selepas kediaman masing-masing dibadai musibah banjir luar biasa akhir Disember 2014 yang lalu.

Seorang penerima, Ahmad Kasim, 88, berkata, dia amat gembira apabila dapat memiliki rumah sendiri setelah kehilangan rumah akibat banjir pada Disember 2014 lalu.

“Sebelum ini, kami terpaksa tinggal di rumah transit yang agak kecil keranai tiada pilihan lain. Di rumah tersebut kami lima beranak terpaksa berhimpit.

“Walau bagaimanapun, kehidupan kami bakal berubah setelah menerima RKB yang lebih luas serta selesa. Saya amat berterima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu,” katanya.

Seorang lagi penerima, Cik Dah Daud, 57, berkata, tiada ungkapan lain yang dapat diluahkan selain ucapan terima kasih kepada kerajaan pusat yang menyediakan RKB kepada mangsa banjir di daerah terbabit.

“Dengan adanya RKB ini, ia sekaligus dapat meringankan beban kami memandangkan sebelum ini kamj terpaksa menyewa rumah,” katanya.

Penyerahan kunci RKB tersebut disempurnakan oleh Ketua UMNO Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman.

Sementara itu, Ramzi berkata, kelewatan pembinaan RKB ini berjaya diselesaikan hasil usaha daripada kerajaan pusat untuk membeli sendiri tanah berkenaan.

Beliau berkata, Kampung Peria adalah antara tiga tanah yang dibeli oleh kerajaan untuk membina RKB kepada mangsa-mangsa banjir di daerah berkenaan.

“Di Peria ini sahaja, kita telah membelanjakan kira-kira RM5 juta yang membabitkan kos pembinaan 40 buah rumah serta infrastruktur.

“Jadi, setiap keluarga di sini menerima sebuah rumah yang bernilai RM133,900 termasuk dengan harga tanah serta infrastruktur yang disediakan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). – 20 Januari 2017.