Dua Korban Banjir Di Kelantan

Dua kanak-kanak ditemukan mati lemas selepas terjatuh ke tali air dalam dua kejadian berasingan di Tumpat dan Pasir Mas.

Dalam kejadian di Pasir Mas, mangsa, Ahmad Iman Farhan Lee Chong Siow, 12, dikatakan terjatuh ke dalam tali air ketika bermain banjir bersama rakan-rakannya di Jalan Kubru, Kampung Kenjing, Repak, Pasir Mas.

Mayat mangsa ditemukan di dasar tali air itu beberapa minit kemudian oleh penduduk kampung yang melakukan operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak berkenaan.

Di Tumpat, seorang remaja, Mohd. Aiman Zikri Muliadi, 13, tergelincir sebelum terjatuh ke tali air ketika cuba menyelamatkan rakannya yang hampir lemas di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa sebelum itu dikatakan bersama rakan-rakannya bermain banjir dan ingin melihat penduduk kampung memasang pukat ikan di kawasan tali air berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Zaharuddin Rasip berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 4 petang oleh pasukan penyelamat kira-kira tujuh meter dari lokasinya dilaporkan lemas.

Katanya, mayat ketika itu berada di dasar tali air berkenaan iaitu sedalam lima meter.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya,” katanya. – 21 Januari 2017.