Jumlah Mangsa Banjir Kelantan Meningkat

Jumlah mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan meningkat kepada 2,744 orang, berbanding 1,763 orang, malam tadi.

Semua mangsa membabitkan 744 keluarga ditempatkan di 32 PPS di tujuh daerah, sehingga jam 8 pagi ini.

Menurut portal eBanjir Kelantan, daerah Kota Bharu merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,088 orang yang ditempatkan di sembilan PPS, diikuti Pasir Mas membabitkan 675 orang di 13 PPS.

Lain-lain daerah adalah Bachok seramai 303 mangsa, Pasir Puteh (401), Machang (101), Tanah Merah (98), dan Tumpat (78).

Sementara itu, 13 laluan ditutup iaitu lapan laluan di Machang, tiga di Pasir Mas dan masing-masing satu di Bachok dan Kota Bharu. – 21 Januari 2017.