Mangsa Banjir Meningkat, 51 Sekolah Ditutup Esok

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat mendadak kepada 8,831 mangsa daripada 2,477 keluarga yang ditempatkan di 61 pusat pemindahan yang dibuka sehingga malam ini.

Menurut Portal rasmi kerajaan negeri, e.banjir.kelantan.gov.my, Kota Bharu masih mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 3,474 orang daripada 926 keluarga diikuti Pasir Puteh (1,551), Pasir Mas (1,098), Bachok (425), Tumpat (656), Tanah Merah (98) dan Machang (101).

Meskipun hujan lebat masih berterusan namun paras sungai-sungai utama di negeri ini dilaporkan masih diperingkat normal kecuali Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard berada pada paras berjaga-jaga dan Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi paras bahaya.

Banjir yang melanda itu turut menyebabkan 19 laluan terpaksa ditutup iaitu enam di Pasir Puteh, Pasir Mas (5), Machang (4), Kota Bharu (2) dan Bachok (1).

Dalam pada itu, menurut laman web Jabatan Meteorologi, hujan sederhana kadang kala lebat dijangka berterusan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Machang.
Sementara itu sebanyak 51 buah sekolah terpaksa ditutup esok berikutan banjir tersebut sejak semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan negeri, daerah Pasir Mas terjejas teruk apabila 19 buah sekolah terpaksa ditutup diikuti Kota Bharu (14); Tumpat (8); Pasir Puteh (7) dan Bachok (3).

Menurutnya, sekolah-sekolah tersebut ditutup disebabkan tiga faktor iaitu, dinaiki air, jalan tidak boleh dilalui atau mengancam keselamatan pelajar serta guru dan sekolah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara.

“Segala perkembangan akan dimaklum dari masa ke semasa. Kita berharap keadaan akan kembali biasa,” katanya. – 21 Januari 2017.