Tanah Mendap, Rumah Terputus Dua

Sebuah rumah di Kampung Simpol Belubang, Machang, terputus dua berikutan tanah mendap akibat hujan lebat yang berterusan sejak semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.16 malam itu, satu keluarga terpaksa dipindahkan bagi mengelak kejadian lebih serius berlaku.

Pemilik rumah berkenaan, Wan Mazlan Wan Mamat, 38 berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Kuala Krai.

Menurutnya, dia sekeluarga segera pulang setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh adiknya kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

“Ketika tiba di rumah, saya dapati bahagian dapur rumah telah roboh akibat mendapan tanah.

“Walaupun sedih melihat keadaam rumah yang baru didiami setahun lalu, namun saya redha dan bersyukur kami sekeluarga terselamat,” katanya ditemui hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian ini kira-kira pukul 8.16 malam.

“Setibanya ditempat kejadian, kita dapati sebuah rumah kekal mengalami mendapan tanah sehingga menyebabkan bahagian dapur rumah berkenaan roboh.

“Kejadian ini disebabkan oleh hujan lebat yang melanda kawasan ini sejak dua hari lalu selain rumah berkenaan dibina di tepi cerun,” katanya.

Nik Ahmad Afsham berkata, pemeriksaan juga turut dilakukan di sekitar rumah tersebut bagi memastikan kawasan tersebut selamat.

“Pihak bomba telah mengarahkan supaya rumah tersebut dikosongkan dengan serta merta bagi mengelakkan kejadian lain berlaku,” katanya. – 21 Januari 2017.