Zahid Dedah Ada Cubaan Jatuhkannya

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat usaha untuk menjatuhkannya sebagai Anggota Parlimen Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Saya dapat tahu ada sasaran untuk jatuhkan Barisan Nasional (BN) di sini (Bagan Datuk) pada PRU14,” katanya sambil menyifatkan usaha tersebut umpama ‘rosak ikan bermula di kepala’.

Tegasnya, usaha menjatuhkan beliau tidak akan berhasil sekiranya jentera BN melipatgandakan usaha pada PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Mandat kerajaan BN sekarang bakal berakhir pada Jun 2018.

Naib Presiden UMNO itu meminta jentera parti komponen BN mengubah taktik berkempen dengan menumpukan kepada sistem komunikasi atas talian untuk mendekat pengundi.

“Kumpulan askar siber (cybertrooper) BN harus menangkis dan menjawab tohmahan kumpulan media pembangkang dan bukan sekadar melihat sahaja.

“Sekarang ini, kita harus mengubah taktik dengan menghubungi setiap pengundi dengan cara sistem komunikasi atas talian sama ada pengundi di sekitar kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM), kampung atau tinggal di tempat lain.

“Kaedah kempen telah berubah, maka kita mesti berubah,” katanya semasa berucap pada majlis Perjumpaan khas Bersama Kepimpinan BN Empat Peringkat Bahagian Bagan Datuk malam tadi. – 21 Januari 2017.