Dr. Mahathir Tolak PAS, Kata PPBM Mampu Kalahkan Parti Itu

Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak untuk PAS bergabung dengan pakatan harapan dan mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mampu mengalahkan parti Islam itu.

Memetik temu bual dengan akhbar Singapura, The Sunday Times beliau berkata, parti pimpinannya (PPBM) bersedia untuk bertanding tiga penjuru.

“Kami bersedia untuk pertarungan tiga penjuru. Kami boleh menewaskan PAS dan BN juga,” katanya.

Pun demikian, beliau tidak menolak kekuatan PAS yang boleh memecahkan undi pembangkang seterusnya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Justeru, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu masih meminta PAS agar berpihak kepada parti pembangkang persekutuan yang lain.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkata, rundingan kerjasama antara PAS dengan PPBM masih sukar untuk dimuktamadkan.

Malah, beliau berpendapat, gabungan politik bersama DAP, PAN, PKR dan PPBM tidak sesuai dengan konsep perjuangan PAS. – 22 Januari 2017.