Ikan Predator Terkena Pukat Khairudin

Seekor ikan eksotik predator yang tidak dikenali spesis sebenar tersangkut di pukat seorang kakitangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Khairudin Mat Lazim, 36, ketika sedang menahan pukat itu di Sungai Peringat, Kota Bharu petang semalam.

Ikan berukuran satu meter panjang dengan berat tiga kilogram itu bersirip keras, mempunyai mulut yang berahang serta berkulit keras seperti buaya.

Menurut Khairudin, pada awalnya dia menyangkakan ikan tersebut adalah dari spesis ikan naga atau ikan palmas.ikan2

“Tetapi, apabila melihat struktur badannya mempunyai rahang yang keras, gigi yang tajam dan agak agresif semasa hendak lepaskan dari pukat, saya tidak tahu untuk mengklasifikasikan jenis sebenar ikan ini.

“Namun apapun, memang tidak dinafikan terdapat berpuluh jenis ikan naga atau palmas yang hidup di dasar sungai di negara bersuhu Tropikal yang memburu mangsa terutama pada waktu malam.

“Saiz tumbesaran ikan spesis ini boleh melebihi saiz tubuh manusia,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Berhala Lima, Limbat, Peringat, hari ini.

Dia berkata, ikan pelik itu bagaimanapun telah mati awal pagi ini dan diletakkan di luar halaman rumah sebagai bahan pameran sebelum mengambil keputusan seterusnya.

“Kerana ramai penduduk sekitar yang datang untuk melihat keunikannya. Ramai yang datang merakamkan gambar kerana tidak pernah temui ikan pelik sebegini sebelum ini,” katanya. – 22 Januari 2017.