Kamera Keselamatan Bergerak Kesan Pemandu Langgar Kesalahan Jalan Raya

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan memasang 14 kamera keselamatan bergerak (Safety Mobile Camera) di beberapa jalan utama di negeri itu.

Pengarahnya, Mahasan Mustafa berkata, pemasangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan kawasan tumpuan.

“Sebagai permulaan, kita telah memasang satu kamera di sepanjang jalan Kuala Krai-Gua Musang sempena Op Bersepadu Tahun Baharu Cina kali ini.

“Manakala 13 buah kamera lagi akan dipasang di seluruh negeri terutama di kawasan yang sudah dikenalpasti sering berlaku kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Bersepadu Tahun Baharu Cina 2017 yang bermula pada 22 Januari sehingga 5 Februari depan.

Mahasan berkata, kamera tersebut juga akan turut dipasang di beberapa lampu isyarat terpilih.

“Pemasangan kamera keselamatan bergerak ini dilakukan bagi mengambil tindakan kepada pemandu yang melanggar kesalahan jalan raya,

“Selain itu, ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran para pemandu supaya rasa diperhatikan dan membudayakan pemanduan berhemah di jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya. – 21 Januari 2017.