PKR Terima DAP Jadi Timbalan Perdana Menteri

Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara terbuka membuat pengakuan sedia menerima wakil DAP menjadi Timbalan Perdana Menteri jika pakatan harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin berkata, penerimaan itu membuktikan keterbukaan ditonjolkan dalam pembangkang yang terdiri daripada pelbagai parti berbilang kaum.

“Ya (tiada masalah), atas dasar kita nak menunjukkan kita (meraikan) kepelbagaian kaum,” katanya memetik artikel sebuah portal semalam.

Dalam pada itu, Zuraida bagaimanapun menyatakan, tidak pernah mendengar sendiri permintaan itu daripada DAP.

“Pada prinsipnya, saya tidak nampaklah ada permintaan daripada DAP yang dikatakan parti Cina itu meskipun mereka sebenarnya parti berbilang kaum.

“Kita tidak pernah dengar mereka menyatakan hasrat itu. Kita dalam pakatan ini memang mempertimbangkan kemungkinan perkara macam begini. Tapi mereka (DAP) tidak mintalah,” katanya.

Baru-baru ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, DAP pernah memohon untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri andai pakatan pembangkang membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum nanti.

Bagaimanapun, beliau tiba-tiba mengubah kenyataan bahawa dakwaannya itu silap dengan berkata, yang meminta jawatan nombor dua kerajaan itu adalah MCA. – 22 Januari 2017.