Banjir Di Kelantan Semakin Pulih, 14 Sekolah Ditutup

Keadaan banjir di Kelantan semakin baik dengan jumlah mangsa terus mencatatkan penurunan kepada 3,370 orang membabitkan 958 keluarga berbanding 10,126 orang daripada 2,841 keluarga semalam.

Menurut portal ebanjir Kelantan, setakat pukul 6 petang ini, jajahan Pasir Puteh mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 2,546 orang daripada 692 keluarga yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara.

Manakala di Kota Bharu, kebanyakan mangsa sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dengan hanya tinggal 227 orang daripada 67 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan.

Sementara di Pasir Mas, mangsa yang dicatatkan terus menunjukkan penurunan ketara kepada 545 mangsa daripada 403 keluarga diikuti Kuala Krai 52 orang membabitkan 14 keluarga.

Manakala sungai-sungai utama di negeri itu juga menunjukkan trend penurunan dengan kebanyakkan sungai berada pada paras berjaga-jaga kecuali Sungai Golok, di Rantau Panjang masih di peringkat bahaya.

Dalam pada itu, sebanyak 14 sekolah di negeri itu membabitkan kawasan Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas tidak dapat beroperasi esok disebabkan laluan ke sekolah terbabit masih digenangi air. – 23 Januari 2017.