Kelantan Digesa Sedia Pelan Bersepadu Atasi Masalah Saliran

Kerajaan PAS Kelantan digesa supaya menyediakan pelan bersepadu bagi merancang pembangunan saliran di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pelan berkenaan juga boleh dikemukan kepada kerajaan pusat sekiranya kerajaan negeri tidak mampu untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan segera bagi mengelak masalah yang lebih serius berlaku memandangkan sistem saliran sedia ada ini tidak begitu teratur.

“Kerajaan negeri perlu berbincang dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran sebelum membuat sebarang keputusan untuk penerokaan atau pembangunan.

“Kerajaan pusat juga bertanggungjawab untuk membangunkan negeri ini namun yang menjadi masalah adalah sistem saliran yang tidak tersusun. Saya dapati sesetengah kawasan tidak mempunyai longkang besar untuk saluran air,” katanya.

Jazlan berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri mengenepikan soal politik demi untuk keselesaan rakyat di negeri itu.

“Kerajaan negeri tidak boleh ego, buanglah ego dan mengakui kelemahan. Sekiranya memerlukan bantuan pusat, kita sedia beri kerjasama untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya. – 23 Januari 2017.