Kerajaan Peruntukkan RM41.1 Juta Untuk Pembangunan Pekebun Kecil Kelantan

 

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sebanyak RM41.1 juta untuk Program Pembangunan Pekebun Kecil di Kelantan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, peruntukan tersebut bakal memberi manfaat kepada 47,614 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah melibatkan kawasan seluas 86,545 hektar dan 4,049 pekebun kecil yang mengusahakan 15,913 hektar tanaman kelapa sawit.

“Daripada keseluruhan peruntukan, sebanyak RM33.3 juta diperuntukkan untuk tanaman semula manakala RM1.2 juta untuk pengembangan.

“Dana itu juga melibatkan produktiviti dan pemasaran (RM3.2 juta) dan untuk pembangunan usahawan (RM3 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Progran Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Pusat Transformasi Ilmu di Machang, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, setakat ini sebanyak 1001 hektar tanam semula melibatkan 800 peserta telah diluluskan dan akan dilaksanakan segera.

“Sasaran kita untuk tanam semula adalah sebanyak 2,500 hektar dan kita akan meluluskan permohonan yang diterima sebelum Mac ini.

“Selain itu, kita juga akan menambah 12 buah depo belian berkelompok tahun ini sebagai tambahan kepada 19 buah depo sedia ada,” katanya.

Tambah beliau, segala bantuan serta peruntukan untuk pembangunan pekebun kecil ini telah membuktikan keprihatinan kerajaan pusat kepada rakyat di negeri itu.

“Peruntukan ini telah membuktikan kerajaan pusat tidak pernah menganaktirikan Kelantan sekaligus menepis segala dakwaan sebelum ini.

“Bantuan serta peruntukan sentiasa disalurkan untuk rakyat di sini meskipun negeri ini diperintah oleh parti pembangkang,” katanya. – 23 Januari 2017.