Kit Siang Tak Perlu Bermadah, DAP Bukan Rakan Politik Yang Baik

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menasihatkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tidak perlu bermadah untuk selamatkan Malaysia dalam memenuhi agenda politik parti itu.

Katanya, pengkhianatan parti berasaskan kaum Cina itu terhadap PAS semasa dalam pakatan rakyat sebelum ini membuktikan bahawa parti itu bukan rakan politik yang baik.

“Agenda antiIslam DAP juga tidak mungkin dapat diterima oleh PAS. Ia merosakkan kerangka bernegara Malaysia.

DAP boleh mengajak mana-mana parti yang boleh berkompromi dengan dasar sosialis dan pragmatik DAP khususnya PAN yang setia kepada DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang sebelum ini dilaporkan berkata, pembentukan gabungan dalam pakatan harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) penting dalam ‘menyelamatkan’ Malaysia dan mengalahkan BN.

PAS setakat ini masih berpendirian untuk tidak membentuk kerjasama dengan pakatan pembangkang termasuk PPBM tetapi lebih selesa bersendirian dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14, akan datang.

Mohd. Khairuddin berkata, PAS tidak akan terpengaruh dengan agenda politik pembangkang lain sebaliknya akan terus bergerak dengan agenda Islam bagi menyelamatkan negara ini. – 23 Januari 2017.