Masjid Baharu Menyerupai Masjidil Haram Di Gua Musang Dijangka Siap Mac Tahun Depan

Masjid baharu menyerupai model Masjidil Haram yang menelan belanja RM27 juta di Bandar Lama Gua Musang dijangka siap selewatnya bulan Mac tahun depan.

Ahli Parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ketika ini projek bagi membina masjid yang boleh memuatkan 3,000 jemaah di keseluruhan kawasan itu berjalan lancar.

Katanya, segala aspek akan diteliti bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan kebersihan masjid itu terjaga kerana ianya akan menjadi sebuah lagi mercu tanda pembangunan baharu di negeri Kelantan.

“Kita telah dimaklumkan oleh pihak kontraktor berlaku kelewatan ketika hendak memulakan projek pembinaan masjid ini.

“Kemungkinan masjid ini akan siap dalam bulan Mac tahun depan, tetapi selepas mengambil kira beberapa faktor yang kita boleh menjimatkan masa dijangka masjid ini boleh disiapkan sebelum akhir tahun ini.

“Kemudahan dewan sembahyang boleh memuatkan kira-kira 1,300 jemaah dan kita merasakan sudah mencukupi untuk penduduk di kawasan ini,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, selain ingin menyelesaikan masalah penduduk Gua Musang yang semakin bertambah, masjid baharu itu juga akan dilengkapi ruangan solat, kemudahan tempat letak kereta, rumah imam, dewan serbaguna, bilik komputer dan perpustakaan. – 23 Januari 2017.