NGO Sokong Perhimpunan Akta 355

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Persatuan Putra Malaysia Kelantan menyeru lebih 5,000 ahlinya menyertai perhimpunan menyokong pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang bakal diadakan di Kuala Lumpur bulan depan.

Yang Dipertuanya, Ahmad Amiruddin Ahmad Nizirin berkata, pihaknya menyokong penuh sebarang usaha yang bertujuan memartabatkan serta meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Dalam masa sama, beliau juga menyeru rakan-rakan daripada pelbagai NGO Islam lain khususnya dari negeri Kelantan menyokong akta yang bakal memperkasakan Mahkamah Syariah itu.

“Perhimpunan Akta 355 jauh berbeza dengan himpunan Bersih atau baju Merah yang dilihat lebih bermotifkan politik selain boleh memecah belahkan perpaduan umat,” katanya kepada media hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Amiruddin berkata, pihaknya berharap usaha yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan institusi kehakiman syariah di negara ini dapat direalisasikan dengan sokongan semua pihak.

“Akta 355 ini adalah berkaitan soal agama Islam langsung tidak melibatkan politik atau menjejaskan masyarakat bukan Islam. Jadi tidak ada sebab ianya dibantah.

“Kita sentiasa menyokong apa jua usaha ke arah membantu memperkasakan agama Islam. Sokongan kita tidak pernah berbelah bahagi,” katanya. – 23 Januari 2017.