Tanah Runtuh, Perkhidmatan Tren Kuala Krai – Dabong Dijangka Pulih Sabtu Ini

Perkhidmatan tren antara Kuala Krai dan Dabong dihentikan buat sementara berikutan kejadian tanah runtuh di Kilometer 392.5 akibat hujan lebat Sabtu lalu.

Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur, Zaid Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku di lokasi yang sama dalam runtuhan kali pertama pada 31 Disember lalu.

“Ia disebabkan hujan lebat ketika itu dan struktur tanah di situ masih belum kukuh berikutan tanah runtuh sebelum ini.

“Ketika kejadian juga, sebuah tren ekspres sedang menuju ke laluan terbabit namun terpaksa dihentikan di Stesen Bukit Abu, Kuala Krai,” katanya.

Beliau memberitahu, kerja pembaikan telah dijalankan dan ia dijangka pulih sepenuhnya Sabtu ini.

Zaid berkata, berikutan kejadian tersebut, perkhidmatan Tren Shuttle hanya beroperasi antara Tumpat-Kuala Krai-Tumpat.

“Manakala bagi Ekspres Senandung Timuran antara Tumpat-Johor Bharu-Tumpat, penumpang akan dibawa dengan tren khas ke Kuala Krai dan disambung dengan perkhidmatan bas ke Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bharu menggunakan tren, dan begitu sebaliknya,” katanya. – 23 Januari 2017.