Azmin Tegur Pemimpin Pembangkang

Sikap pembangkang ternyata tidak sehaluan, ia terbukti apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil membuat teguran terhadap mereka (pemimpin pembangkang) yang mengamalkan sikap ‘kuku besi’.

Beliau membuat teguran itu setelah melihat amalan tersebut boleh menggagalkan proses kerjasama politik pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Katanya, semua pihak perlu berhenti membuat gesaan atau paksaan terhadap parti lain supaya mengikut telunjuk masing-masing.

“Dalam proses perbincangan mestilah ada toleransi dan tolak ansur. Barack Obama selalu sebut bahawa democracy is a noisy process. Riuh kerana ada yang setuju dan tak setuju.

“Itulah demokrasi, tapi kalau kita paksa bahawa kamu mesti ikut cara aku, rentak aku, itu bukan demokrasi tapi kuku besi,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Azmin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu menamatkan rundingan bersama PAS kerana ingin memberi tumpuan kepada kerjasama dengan DAP.

Dalam satu temu bual bersama akhbar Singapura, The Sunday Times yang disiarkan menerusi portal http://www.straitstimes.com, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau bersedia menutup sebarang pintu rundingan dengan PAS ekoran keengganan parti Islam tersebut bekerjasama dengan parti sekutu PPBM dalam pakatan pembangkang.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM yakin pakatan pembangkang tidak memerlukan PAS untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

Pun demikian, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mahu semua pihak berlapang dada dalam mengadakan rundingan demi kepentingan rakyat.

“Kita kena teruskan perbincangan. Memang rumit, saya tak kata proses ini mudah. Dalam proses demokrasi mesti ada pihak yang setuju dan tak setuju,” katanya. – 24 Januari 2017.