China Dijemput Sertai TPP Selepas AS Tarik Diri

Australia dan New Zealand berharap dapat menyelamatkan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dengan menggalakkan China dan negara Asia lain menyertai pakatan perdagangan itu selepas Presiden Donald Trump memutuskan keluar daripada perjanjian itu.

TPP yang dimeterai Amerika Syarikat (AS) tetapi tidak diratifikasikan, adalah usaha bekas Presiden Barack Obama.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, sebelum ini menyifatkannya sebagai enjin pembaharuan ekonomi, selain sebagai pengimbang kepada kebangkitan China yang bukan ahli TPP.

Memenuhi janji kempennya, Trump menandatangani perintah eksekutif menarik keluar AS daripada TPP dan menjauhkan diri daripada sekutunya di Asia.

Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Abe, Perdana Menteri New Zealand, Bill English, dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berhubung kemungkinan meneruskan TPP tanpa AS.

“Kehilangan AS daripada TPP adalah satu kehilangan yang besar.

“Tetapi kita tidak akan membiarkannya begitu saja…pastinya terdapat potensi China menyertai TPP,” kata Turnbull kepada pemberita di Canberra hari ini.

TTP yang mengambil masa lima tahun untuk dirundingkan, memerlukan ratifikasi sekurang-kurangnya enam negara mewakili 85 peratus gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ahli.

Australia akan membantu bagi memungkinkan China, pengeksport utama dunia, menyertai TPP. – Reuters, 24 Januari 2017.