Dua Wartawan CNA, 16 Orang Asli Ditahan

Dua wartawan Channel NewsAsia (CNA) dilaporkan telah ditahan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan kerana didakwa membuat liputan secara langsung ketika pihak berkuasa merobohkan sekatan dilakukan Orang Asli di Gua Musang.

Mengikut laporan sebuah portal berita, turut ditahan ialah 16 Orang Asli di tapak sekatan itu.

Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asal Kelantan (JKOAK), Mustafa Along, yang juga turut ditahan mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, dua wartawan terbabit ialah warga tempatan yang bertugas untuk stesen televisyen kabel Singapura.

“Dua wartawan dari CNA ditahan dan digari pihak berkuasa kerana dikatakan membuat liputan langsung ketika Jabatan Perhutanan sedang merobohkan sekatan dilakukan Orang Asli.

“Selain itu, 16 lagi Orang Asli turut ditahan dan kemungkinan akan dikenakan siasatan lanjut,” katanya.

Semalam, lima Orang Asli dari kawasan pedalaman Gua Musang ditahan Jabatan Perhutanan Kelantan kerana membina sekatan menghalang pembalak memasuki kawasan terbabit.

Pada 29 November lalu, 47 Orang Asli dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah ditahan pihak berkuasa kerana melakukan sekatan bagi mempertahankan tanah adat mereka.

Namun, seminggu selepas dibebaskan, kumpulan itu kembali melakukan sekatan ke-2 pada 20 Disember lalu.

Mustafa berkata, ketika ini, Jabatan Perhutanan Kelantan giat merobohkan sekatan bagi membolehkan pembalak memasuki kawasan hutan. – 24 Januari 2017.