Malaysia Fokus AEC, RCEP, FTA Jika TPP Gagal

Malaysia akan memberi tumpuan untuk meningkatkan integrasi ASEAN dalam konteks Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2015, memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan meneruskan pelbagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala jika Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tidak menjadi kenyataan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jika TPP gagal berkuat kuasa, ia adalah satu peluang yang terlepas bagi Malaysia memandangkan beberapa firma penyelidikan menyatakan negara ini adalah penerima manfaat yang jelas dalam perjanjian berkenaan.

Katanya, pasukan rundingan Malaysia berjaya mendapatkan sejumlah konsesi bernilai dan pada masa sama melindungi kepentingan negara termasuklah dasar Bumiputera.

“Rakyat sepatutnya perlu berasa lega kerana mengetahui kita mempunyai pasukan rundingan berkemampuan tinggi yang bersedia mempertahankan kepentingan dalam sebarang rundingan perdagangan dua hala atau pelbagai hala pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Presiden Donald Trump, semalam menandatangani Arahan Eksekutif untuk mengeluarkan Amerika Syarikat (AS) daripada TPP.

Tindakan Trump itu tidak mengejutkan kerana beliau sebelum ini beberapa kali berikrar untuk mengeluarkan AS daripada TPP dengan merujuk rundingan itu sebagai ‘potensi bencana’ kepada ekonomi negara berkenaan.

TPP yang dimeterai Malaysia dan 11 negara lain pada 4 Februari tahun lalu tidak boleh dijalankan tanpa penyertaan AS kerana negara itu merangkumi 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 12 negara terbabit.

Di bawah perjanjian minimum enam negara merangkumi 85 peratus KDNK daripada 12 negara itu perlu disahkan sebelum TPP boleh berkuat kuasa.

Semasa mesyuarat antara 12 pemimpin negara TPP di Lima, Peru pada 19 November lalu, semua pemimpin menegaskan komitmen untuk merealisasikan perjanjian berkualiti tinggi itu berikutan manfaat yang dibawa terhadap ekonomi masing-masing serta rantau ini, khususnya meningkatkan perdagangan dan pelaburan selain meningkatkan pengantarabangsaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Jepun dan New Zealand sudah menyelesaikan proses ratifikasi domestik masing-masing, malah Jepun sudah pun mendepositkan instrumen ratifikasi pada 20 Januari lalu.

Mustapa berkata, pertikaian Trump adalah TPP akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan di AS dan aliran keluar dana ke negara anggota lain, sekali gus merugikan AS.

“Pada pandangan kami, TPP adalah perjanjian seimbang yang memberi manfaat kepada semua anggota. AS juga akan mendapat manfaat daripada akses pasaran ke negara yang mereka tidak menjalin perjanjian perdagangan bebas seperti Jepun, Vietnam dan Malaysia,” katanya. – 24 Januari 2017.