PPDNKK Tempatkan 200 Pegawai Di Pasaraya

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan akan menempatkan 200 pegawainya di setiap pasaraya dan pasar basah pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, ia bagi membantu memudahkan pengguna membuat sebarang aduan berkaitan secara langsung.

Beliau berkata, usaha ini juga dilaksanakan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti mengaut keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

“Sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, pegawai kita akan menjalankan kawalan dan pemeriksaan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kenaikan harga barangan seperti yang berlaku sebelum ini.

“Kita akan mewujudkan satu kaunter yang menempatkan dua pegawai di setiap pasaraya dan pasar basah di negeri ini. Di situ juga kita akan meletakkan alat timbangan untuk memudahkan pengguna membuat aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula 23 Januari sehingga 3 Februari di Pasaraya Pantai Timur, di Kuala Krai hari ini.

Dalam pada itu, Ab. Ghani berkata, pihaknya juga turut mengingatkan peniaga supaya menjual barangan kawalan tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan.

“Jangan cuba untuk mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati kerana pihak PPDNKK akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya. – 24 Januari 2014,