Rasuah: Tempoh Reman Pembantu Penguatkuasa Dilanjutkan Lima Hari Lagi

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap seorang pembantu penguatkuasa sebuah kementerian bagi membantu siasatan kes rasuah kuota beras bersubsidi berjumlah RM468,000.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman, mengeluarkan perintah itu selama lima hari lagi bermula esok ke atas suspek selepas dia direman selama enam hari bermula Khamis lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, wang berjumlah RM10,113 ditemui dalam peti besi di pejabat suspek yang berusia 57 tahun itu dan wang tunai RM51,100 turut ditemui di bonet kereta ketika pemeriksaan dijalankan.

Katanya, suspek dipercayai menerima rasuah sebanyak RM468,000 secara berperingkat daripada sebuah syarikat pemborong beras untuk mendapatkan kuota beras bersubsidi Super Tempatan 15 (ST15) peratus hancur.

Penahanan itu katanya adalah susulan penahanan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian, sebelum ini. – 24 Januari 2017.