Dua Wartawan CNA Ditahan Di Gua Musang Dibebaskan

Dua wartawan Channel NewsAsia (CNA) yang berpangkalan di Singapura serta lima penduduk Orang Asli yang ditahan Jabatan Perhutanan negeri dalam dua operasi berasingan di Gua Musang kelmarin dibebaskan malam tadi.

Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Zahari Ibrahim berkata, dua wartawan tersebut dibebaskan pada pukul 11 malam manakala penduduk Orang Asli pula dibebaskan beberapa jam sebelum itu.

“Kita hanya menahan penduduk Orang Asli untuk diambil keterangan sahaja bagi membantu siasatan berhubung operasi yang dilakukan bermula kelmarin.

“Dua wartawan itu pula dilepaskan selepas kita berpuas hati dengan keterangan yang diambil. Penahanan itu sekadar prosedur operasi standard (SOP) biasa kita untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Portal ini semalam melaporkan, wartawan dan jurugambar CNA yang sedang membuat liputan kesan-kesan pembersihan hutan di Gua Musang ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Kelantan.

Wartawan yang ditahan itu ialah Ong Ju Lim, 46, dan jurugambarnya, Too Chee Hung, 36.

Mereka yang bertugas di CNA Singapura itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi semasa berada dalam kawasan Hutan Simpan Perias.

Kedua-dua petugas media itu merupakan warga Malaysia dan mereka ditahan kerana didakwa memasuki kawasan Hutan Simpan Perias di Pos Bihai tanpa permit. – 25 Januari 2017.