Gua Musang Banjir

Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kampung di Gua musang terutamanya di kawasan rendah mula dinaiki air sejak semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Limau Kasturi, Kampung Batu Dua, Bandar Lama, Kampung Kerinting, Kampung Pulau Setelu, Kampung Limau Kasturi dan Kampung Pulai.

“Beberapa rumah serta jalan di kawasan terbabit telah digenangi air, dan kawasan tanaman penduduk juga telah dilimpahi air,” katanya hari ini.

Berikutan itu, seramai 11 keluarga di Kampung Limau Kasturi telah dipindahkan.

Mohd. Yussalmi berkata, penduduk kawasan terbabit diingatkan agar sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir.

“Penduduk harus waspada dan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir serta mendengar arahan pihak berkuasa,” katanya. – 25 Januari 2017.