Kerajaan PAS Kelantan Tangguh Keputusan Turun Harga Pasir

Kerajaan PAS Kelantan hari ini membuat pusingan u apabila menangguhkan keputusan menurunkan harga pasir antara 15 sehingga 20 peratus sebagaimana yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pada masa ini, harga pasir akan mengikut harga pada tahun lalu iaitu sekitar RM50 sehingga RM80 selori sehingga keputusan baharu dibuat.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat kajian terperinci berkaitan perkara tersebut dalam tempoh sebulan sebelum menentukan harga baru pasir yang bakal menguntungkan semua pihak.

“Harga yang akan diumumkan nanti adalah cukup berpatutan demi kepentingan rakyat selain mampu memberi keuntungan kepada pengusaha-pengusaha pasir.

“Insya-Allah dalam tempoh sebulan ini, kita akan membuat kajian seterusnya menyelesaikan masalah tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Baru-baru ini, kerajaan itu membuat keputusan menurunkan harga pasir antara 15 hingga 20 peratus bagi memastikan Kelantan terus menjadi antara negeri yang menawarkan pasir termurah di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad dilaporkan berkata, keputusan itu diambil demi kepentingan semua pihak. – 25 Januari 2017.