PAS Tolak Salam Perdamaian DAP

PAS mengulangi ketegasannya tidak akan bekerjasama dengan DAP sekali gus menolak salam perdamaian daripada Penasihatnya, Lim Kit Siang.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, DAP telah mengkhianati PAS dan tidak mungkin parti Islam itu terjerat lagi dengan permainan mereka.

“Saya juga merasakan DAP ini mempunyai strategi dan agenda dengan kembali mengajak PAS bekerjasama.

“Apa jua keadaan, kita memang tolak kerjasama ini,” katanya selepas majlis penyerahan van kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) hari ini.

Kelmarin, Kit Siang mengeluarkan kenyataan sanggup bekerjasama sekali lagi dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika Abdul Hadi bersedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia.

Sebelum ini, DAP mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan PAS yang bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan dan pada masa sama DAP menuduh Abdul Hadi sebagai pemimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur. – 25 Januari 2017.