SOP Bantu Kurangkan Kerosakan Akibat Banjir

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersedia menghadapi banjir dengan prosedur operasi piawai (SOP) yang lebih baik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setiap kakitangan bertugas sudah mengetahui SOP masing-masing dalam menjalankan tugas ketika musim banjir.

Beliau percaya, bertugas dengan SOP yang lebih baik akan dapat mengurangkan sebarang kerosakan dengan paling minimum.

“Semasa banjir besar tahun 2014 kita kerugian bekalan ubatan bernilai RM1.8 juta.

“Kali ini kerosakan yang dialami akibat banjir sangat terhad dengan pematuhan kepada SOP,” katanya ditemui selepas melawat rumah seorang jururawat Hospital Tanah Merah di Kampung Simpul Berlubang, Machang yang runtuh akibat mendapan tanah.

Kejadian 20 Januari lepas, rumah Siti Roseaidawati Abd. Rahman, 36, terputus dua berikutan tanah mendap akibat hujan lebat.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa semasa masih berada dalam musim banjir bagi memastikan keselamatan masing-masing.

“Kita harus faham, setiap nasihat serta arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa adalah untuk kepentingan atau keselamatan semua selain bagi memudahkan segala urusan berkaitan dijalankan dengan sempurna dan lancar,” katanya.

Sementara itu, difahamkan pihak kesihatan Machang telah melancarkan tabung bencana banjir bagi membantu Siti Roseaidawati. – 25 Januari 2017.