Banjir: PAS Kelantan Tak Pernah Ambil Iktibar

Kelantan dilanda banjir lagi. Kali ini banjir hujan, bukan banjir sungai seperti gelombang pertama pada akhir Disember lalu hingga awal bulan ini.

Banjir hujan kali ini boleh dianggap paling buruk dalam sejarah, kerana kawasan yang selama ini tidak pernah dinaiki air, tiba-tiba digenangi air.

Dalam tempoh tiga hari banjir yang bermula 20 Januari lalu, hampir 11,000 penduduk telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lapan jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang, Kota Bharu, Tanah Merah, Machang, Bachok dan Pasir Puteh.

Banjir adalah bencana alam yang akan berlaku hampir setiap tahun. Bencana ini tidak dapat dielakkan daripada berlaku. Sampai masa, sampai tempoh, sampai musim, dia akan berlaku.

Semua tahu bencana banjir ini akan berlaku setiap akhir tahun dan berlarutan sehingga ke awal tahun baharu.

Tetapi sejauhmana kerajaan PAS Kelantan mengambil iktibar daripada bencana itu? Yang tentunya merisaukan rakyat, terutama di kawasan rendah.

Apa kerajaan PAS Kelantan lakukan untuk sekurang-kurangnya mengatasi daripada berlaku banjir buruk?

Apakah banjir paling buruk dalam sejarah Kelantan yang berlaku tahun 2014 tidak dijadikan pengajaran bagi mengelak ia berulang pada tahun-tahun akan datang?

Nampaknya, seperti mencurah air ke daun keladi dalam mengkritik, menegur dan memberi pandangan kepada kerajaan itu.

Dari setahun ke setahun, tidak ada apa-apa perubahan. Seolah-olah pemimpin kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakub tidur dan langsung tidak menganggap banjir buruk sebelum ini sebagai pengalaman untuk dijadikan pengajaran.

Boleh dikatakan, setiap kali tiba akhir tahun, rakyat diselubungi keresahan. Mereka memikirkan barangan perabut di rumah jika kediaman mereka dimasuki air.

Bahkan, mereka sibuk bertanya sesama sendiri, bertanya kepada rakan dan kepada sesiapa saja yang dipercayainya, “Akan berlaku banjirkah tahun ini? Atau “Adakah banjir tahun ini akan lebih buruk dari tahun lepas?

Setakat ini hanya rakyat yang resah gelisah. Kerajaan PAS Kelantan langsung tidak Nampak kebimbangan yang tersirat dalam diri rakyat mereka.

Bahkan, kerajaan negeri seronok menunggu musim banjir kerana mereka dapat bermain air dengan ahli keluarga, atau sekurang-kurangnya mengambil tiket kapal terbang, terbang ke Kuala Lumpur.

Sebab itu, tidak mustahil kalau hari pertama banjir atau hari kedua banjir, belum kelihatan kelibat pemimpin PAS dan kerajaan negeri turun ke kawasan dinaiki air untuk bertanya khabar atau menghulurkan bantuan.

Seperti biasa, mereka menunggu kedatangan pemimpin kerajaan Pusat dahulu. Selepas semua mangsa banjir ditempatkan di PPS, diberi makan minum secukupnya, selimut, kelambu dan tilam, baharulah pemimpin PAS muncul.

Mereka muncul dengan sebotol air mineral dan sebungkus nasi yang diikat kemas dalam plastik. Bekalan ini kemudian dihantar kepada mangsa banjir yang menyokong mereka sahaja.

Tengoklah, dalam keadaan rakyat ditimpa bencana alam pun, pemimpin parti yang kononnya memperjuangkan Islam ini masih berpolitik.

Dalam hal banjir gelombang kedua ini, ia tidak akan berlaku kalau kerajaan negeri menyediakan sistem perparitan secara tersusun.

Jika sistem perparitan ini sempurna, sudah pasti banjir gelombang kedua tidak akan berlaku kerana air hujan akan terus mengalir ke sungai.

Tapi, apakan daya, kerajaan negeri tidak pernah cuba memikirkan sistem perparitan yang sempurna dapat mengelakkan daripada banjir akibat hujan.

Jadi, kerana kelemahan inilah menyebabkan hampir 11,000 penduduk dari lapan jajahan terpaksa dipindahkan ke PPS kerana kawasan atau rumah mereka dinaiki air.

Barangkali, sudah sampai masanya rakyat menukar kerajaan. Dari PAS kepada Barisan Nasional (BN).