Kerajaan PAS Kelantan Akui Masalah Perparitan Punca Banjir

Kerajaan PAS Kelantan mengakui sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi antara faktor berlakunya banjir kilat di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, masalah tersebut turut menyebabkan beberapa kawasan khususnya di Kota Bharu yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini terjejas teruk.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan berusaha mengatasi masalah tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.

“Kita tidak menafikan perkara ini (sistem perparitan punca banjir) menjadi antara punca banjir kilat.

“Kita akan cuba mengatasi masalah ini dengan pembinaan longkang-longkang meskipun kosnya cukup tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, pihaknya telah membuat persiapan awal dalam menghadapi bencana banjir di Kelantan.

“Kita telah membuat tindakan melalui jajahan-jajahan bagi membantu mangsa banjir. Cuma yang sedikit terkilan, banjir kali ini telah menyebakan beberapa kematian.

“Untuk masa-masa hadapan, saya menyeru agar rakyat membuat persiapan awal kerana bencana banjir seperti ini berlaku di luar jangkaan,” katanya. – 26 Januari 2017.