Pertumbuhan Ekonomi 2017 Dijangka Lebih Baik – Najib

Ekonomi Malaysia yang diunjurkan berkembang antara 4.5 dan 5.0 peratus tahun ini, diyakini dapat dicapai berdasarkan asas ekonomi negara yang kukuh serta dasar fiskal dan kewangan yang baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap pada Perhimpunan Khas Kementerian Kewangan hari ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sasaran tersebut adalah lebih baik berbanding jangkaan yang dicapai ekonomi negara pada tahun lepas iaitu sekitar 4.0 hingga 4.5 peratus.

Najib berkata, prospek pertumbuhan ekonomi dunia pada 2017 dijangkakan lebih baik berbanding tahun sebelumnya, berkembang 3.4 peratus berbanding 3.1 peratus pada 2016.

“Perdagangan dunia juga dijangkakan meningkat 3.8 peratus pada tahun ini berbanding 2.3 peratus pada 2016.

“Bagaimanapun, beberapa risiko dijangkakan terus dihadapi, termasuk pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu dan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam kalangan negara maju dan beberapa negara serta perkembangan dasar di Amerika Syarikat yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Jelasnya, Malaysia juga menghadapi beberapa risiko domestik seperti lebihan akaun semasa yang semakin mengecil, penyusutan nilai mata wang ringgit, peningkatan hutang isi rumah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta peningkatan kos sara hidup.

Mengenai harga minyak dan komoditi minyak sawit dan getah, Perdana Menteri berkata, kesemua harga tersebut telah menunjukkan trend terkini yang memberangsangkan.

“Harga minyak mentah global, Brent, menunjukkan trend peningkatan iaitu berada pada paras purata US$55 setong sehingga 23 Jan berbanding US$44 setong bagi tahun lalu.

Jelasnya, dengan komitmen daripada Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC untuk mengehadkan pengeluaran dunia, harga Brent dijangkakan dapat dipertahankan pada paras tersebut atau naik sedikit tahun ini.

Mengenai harga minyak sawit, katanya, trend peningkatan harga komoditi itu boleh dilihat berdasarkan harga terkini yang mencecah purata RM3,264 setan metrik (sehingga 23 Jan 2017) berbanding RM2,650 setan metrik pada 2016.

Najib berkata, harga getah yang juga meningkat dengan ketara, sudah pasti memberi kelegaan kepada ratusan ribu pekebun kecil di luar bandar.

Beliau berkata sekiranya trend itu berterusan, kedudukan kewangan negara akan bertambah kukuh dan lebih banyak program berpaksikan kesejahteraan rakyat akan dapat dilaksanakan. – Bernama, 26 Januari 2017.