Tahanan Wartawan, Kes Diserah Kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut berhubung penahanan wartawan agensi berita asing kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal Gua Musang di Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana sudah menjadi ketetapan bagi mana-mana individu untuk mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum memasuki hutan simpan tersebut.

“Tindakan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk menahan wartawan berkenaan kerana peraturan telah ditetapkan iaitu orang awam perlu mempunyai permit masuk sebelum memasuki hutan simpan tersebut.

“Mereka dibawa oleh anggota Jabatan Perhutanan ke pejabat untuk diambil keterangan. Apabila kertas siasatan dan ulasan daripada pegawai dari Jabatan Perhutanan siap, ia akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya sama ada wajar untuk diambil tindakan undang-undang atau tidak,” katanya di Kuala Lumpur malam tadi.

Selasa epas, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menahan seorang wartawan dan seorang jurukamera agensi berita asing kerana disyaki menceroboh, dua wartawan itu adalah warganegara Malaysia dan didapati bersalah kerana berada dalam kawasan hutan simpan itu tanpa kebenaran.

Siasatan juga mendapati wartawan berkenaan mempunyai Pas Media Jabatan Penerangan yang tempohnya telah tamat pada 2013 dan tidak diperbaharui. – 26 Januari 2017.