UMNO Tanah Merah Agih Sumbangan Awal Semester Kepada Ahli Permata

Kira-kira 6,000 ahli Persatuan Mahasiswa Anak Tanah Merah (Permata) bakal menikmati sumbangan awal semester 2017 yang akan diagihkan sabtu ini.

Sumbangan daripada UMNO Bahagian Tanah Merah itu akan diagihkan kepada penerima mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanah Merah, Dayang Saniah Abdul Hamid berkata, setiap tahun, Penaung Permata yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz tidak pernah ketinggalan dalam menjaga kebajikan ahli-ahli Permata.

“Bantuan ini akan diagihkan sebanyak dua kali setahun iaitu sumbangan awal semeter dan sumbangan hari raya Aidilfitri.

“Kita begitu komited dalam menjaga kebajikan serta pendidikan anak-anak Tanah Merah kerana mereka adalah generasi pelapis negara di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Permata di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1 hari ini.

Pada karnival berkenaan, kira-kira 500 ahli Permata telah turut serta dalam pelbagai acara yang dipertandingkan termasuk futsal, badminton, bola jaring, sepak takraw, paintball dan sebagainya.

Dalam pada itu, Dayang Saniah berkata, selain menyalurkan bantuan, ahli-ahli Permata juga diberi pendedahan dari pelbagai aspek menerusi program serta aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun.

“Seperti tahun sebelum ini, Permata juga melaksanakan pelbagai program seperti Karnival Sukan Permata, Jom Masuk U, kursus persediaan ke alam pekerjaan seperti penulisan resume dan persediaan untuk temuduga dan banyak lagi.

“Selain itu, ahli-ahli Permata juga turut diraikan dalam Majlis Graduan untuk mereka yang telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing,” katanya. – 26 Januari 2017.