Banjir Kembali Serius Di Kelantan

Ekoran hujan lebat di kawasan hulu Kelantan sejak malam tadi, jumlah mangsa banjir di Kelantan bertambah mendadak kepada 997 orang hari ini berbanding 295 orang semalam.

Menurut portal ebanjir Kelantan, kesemua mangsa banjir terbabit ditempatkan di 14 pusat pemindahan di lima daerah.

Jajahan Jeli merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 642 orang, diikuti Kuala Krai (237 orang), Gua Musang (78 orang), Pasir Puteh (25 orang) dan Tanah Merah (15 orang).

Sementara itu bacaan paras air di tiga sungai utama didapati masih di paras bahaya dengan Sungai Kelantan di Tangga Krai mencecah 25.46 meter (m), Jambatan Guillemard 16.03m dan Sungai Golok di Rantau Panjang 9.50m.

Lima jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Gua Musang-Dabong di Gua Musang; Jalan Jirat, Jalan Bukit Sireh-Kampung Bedal-Kuala Nal dan Jalan Batu Lada di Kuala Krai serta Jalan Pengkalan Kubor-Jeram Perdah, Pasir Mas. – 27 Januari 2017.