PAN Tetapkan Februari Tempoh Akhir Kerjasama Blok Pembangkang

PAN menetapkan bulan depan sebagai tempoh akhir untuk mana-mana parti menyertai kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Timbalannya, Salahuddin Ayub berkata, PH dan PPBM terbuka dan sudah menunaikan tanggungjawab besar menyatukan parti pembangkang.

“Masa sudah tamat dan kita tidak boleh berlengah untuk merangka strategi besar menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam apa kemungkinan sekalipun.

“Pertengahan Februari adalah garis penamat untuk PH dan PPBM membuat keputusan muktamad,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada PAS yang terus bertegas tidak akan bekerjasama dengan parti pembangkang lain yang tidak boleh menerima ideologi Islam dibawanya walaupun ada usaha mewujudkan jalinan kerjasama itu.

Salahuddin berkata, parti serpihan PAS itu bersependapat dengan pandangan pimpinan rakan dalam PH dan PPBM untuk memutuskan pendirian dengan mana-mana parti yang berhasrat untuk bersama dengan gabungan besar pembangkang sebagai persediaan akhir mendepani BN pada PRU akan datang.

“Kita menyaksikan betapa terbukanya pimpinan PKR menghulurkan salam permuafakatan dan yang terkini pimpinan utama DAP pula bersedia menerima PAS dalam gabungan pembangkang demi menyelamatkan negara yang dilanda krisis terbesar akibat salah guna kuasa,” katanya. – 27 Januari 2017.