‘Tunggulah’ – Amaran Keras SPRM Kepada Ahli Politik Terlibat Rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran kepada ahli politik yang terbabit dengan rasuah, bahawa mereka tidak akan terlepas daripada tindakan.

Ketuanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pengamal rasuah tanpa mengira pangkat.

“Pada hari ke-100 saya sebagai ketua SPRM, saya menyatakan bahawa saya tidak akan berhenti daripada mengambil tindakan ke atas ahli-ahli politik.

“Malam ini, saya ingin katakan kepada ahli politik yang terlibat dengan rasuah, ‘tunggulah’,” katanya dalam satu temu bual secara langsung di televisyen malam tadi.

Dzulkifli berkata, SPRM tidak bimbang dengan ‘individu-individu dilindungi’ yang melakukan rasuah sistemik.

“Tidak timbul isu mereka dilindungi, saya boleh jamin bahawa semua mereka yang melakukan rasuah tidak akan dibiarkan. Saya akan mengambil tindakan terhadap mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih,” tegas beliau. – 27 Januari 2017.