Mangsa Banjir Di Kelantan Meningkat

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,227 pagi ini berbanding 977 malam tadi.

Kesemua mangsa membabitkan 340 keluarga itu ditempatkan di 15 pusat pemindahan di Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Mengikut portal e-Banjir, Jeli mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 928 daripada 269 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Kuala Krai mencatatkan 156 mangsa (36 keluarga), Gua Musang 76 mangsa (20 keluarga), Tanah Merah 42 mangsa (10 keluarga) dan Pasir Puteh 25 mangsa (5 keluarga).

Sementara itu, sehingga pagi ini, empat sungai mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Jambatan Guillemard. – 28 Januari 2017.