PM Kata Pilihan Raya Lambat Lagi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak akan berlaku pada tahun ini.

Semasa ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn semalam beliau memberitahu, tarikh mesyuarat UMNO peringkat cawangan yang dijadualkan pada 17 Mac hingga 30 April dan mesyuarat bahagian pada 7 Julai hingga 26 Ogos ini tiada kaitan dengan PRU-14.

“Tak ada. Tahun ini adalah tahun biasa. Jadi kita buat mengikut kesesuaian. Kita ada Hari Raya, Ramadan, Sukan SEA dan sebagainya. Ini tarikh yang sesuai (untuk adakan mesyuarat),” katanya.

Mengenai kerjasama UMNO dan PAS dalam menghadapi PRU-14 beliau enggan mengulas lanjut dengan berkata “tak perlu setakat ini.

“Kita kerjasama atas isu kepentingan ummah seperti isu Rohingya, kita dapat berada di pentas yang sama dan saya diberitahu pelancaran kapal Flotilla pada 3 Februari ini, insyaAllah PAS akan hadir.

“Jadi maknanya kita boleh bekerjasama atas isu yang menyentuh soal ummah, soal Islam dan sebagainya. Soal PRU-14 itu lain cerita, ini soal ummah, rang undang-undang kita bincang sama-sama. Jadi pilihan raya lambat lagi,” katanya.

Tempoh matang bagi penggal PRU-13 akan berakhir pada Jun 2018. – 28 Januari 2017.