Turun Pangkat Mudir, PAS Perlu Diajar Pada PRU-14

Pemuda PAN negeri menyifatkan tindakan kerajaan PAS Kelantan yang menurunkan pangkat mudir di salah sebuah sekolah selepas dipercayai menerima sumbangan banjir sebagai keterlaluan.

Memetik catatan di laman Facebook Ketua Pemuda PAN Kelantan, Hazmi Hassan berkata, kerajaan PAS Kelantan telah menzalimi seorang mudir hanya kerana menerima sumbangan banjir daripada parti itu.

Beliau bagimanapun tidak menyatakan nama sekolah berkenaan namun, istilah mudir yang digunakan difahamkan merujuk kepada sekolah agama di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Hanya kerana menerima sumbangan banjir daripada Pemuda Amanah (PAN), seorang mudir (Guru Besar) ditukarkan kepada guru biasa,” katanya.

Difahamkan, pada 15 Januari lepas, PAN menggerakkan misi bantuan banjir kepada pelajar di sebuah sekolah menengah agama Rantau Panjang di bawah kelolaan YIK selepas kawasan itu terputus hubungan akibat banjir.

Mengulas lanjut Hazmi berkata, politik kepartian melampau itu menyeru supaya pengundi ‘mengajar’ PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Politik apakah ini? Parti ini perlu diajar pada PRU 14,” katanya. – 28 Januari 2017.