BN Kelantan Ceriakan Keluarga Chee Wei

 

Sejak 32 tahun lalu, sambutan Tahun Baharu Cina bagi seorang lelaki bagaikan tidak bererti kerana dia hanya mampu terlantar di atas kerusi akibat penyakit saraf yang dihidapi.

Hari ini, Siew Chee Wei, 59, tersenyum ceria apabila dikunjungi rombongan pemimpin Barisan Nasional (BN) Kelantan diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed

Menurut Chee Wei, sejak menghidap penyakit saraf 32 tahun lalu, dia sentiasa dalam keadaan kemurungan kerana tidak dapat bergerak ke mana-mana.

Selain itu katanya, keluarganya yang hidup serba kekurangan hanya menyambut Tahun Baharu Cina secara ala kadar setiap tahun.

“Kehadiran Tok Pa (Mustapa) dan pemimpin BN lain sedikit sebanyak membawa keceriaan kepada saya dan keluarga. Terima kasih kerana sudi menjenguk saya dan keluarga,” katanya.

Selain menziarahi Chee Wei, rombongan BN Kelantan tersebut turut meluangkan masa melawat beberapa lagi keluarga masyarakat Cina yang daif dan menghidap penyakit kronik di sekitar Kota Bharu.

Sementara itu, Mustapa berkata, program ziarah tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti BN Kelantan yang sentiasa cakna dengan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum,

“Program sama akan diteruskan dari semasa ke semasa demi kepentingan rakyat.

“Sempena Tahun Baharu Cina ini kita juga akan mengadakan jamuan makan malam bersama masyarakat Cina negeri ini pada 12 Februari depan,” katanya. – 29 Januari 2017.