Banjir Darat Dan Politik Hodoh

Banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini merupakan satu fenomena yang agak pelik. Mana tidaknya, kawasan darat yang tenggelam tetapi Kawasan tepi sungai tidak terjejas sangat.

Banjir 2014 juga sebagai pelik dan aneh, mengejutkan. Dua banjir pelik melanda negeri Serambi Mekah dalam tempoh dua tahun.

Tuhan memberi kita akal. Maka pelik dan ajaib itu pastinya memberi pengajaran untuk kita berfikir.

Rakyat berfikir cara rakyat. Penguasa negeri apatah lagi perlu lebih 100 kali ganda bermuhasabah lebih daripada rakyat.

Namun apabila dilihat daripada kaca mata politik, pihak yang bertanggungjawab mudah meloloskan diri dengan alasan takdir Allah tanpa mahu menyelami apakah hikmah disebalik takdir itu.

Rakyat tidak seperti dahulu lagi. Rakyat sudah mempunyai pemikiran yang jauh kerana mereka telah dicerdikkan oleh pemerintah sejak selepas merdeka dengan pelbagai inisiatif.

Mari kita renung kembali, sejak lebih 25 tahun lalu, bagaimanakah rencana pembangunan dilakukan di negeri ini terutama Kota Bharu yang terjejas teruk akibat ‘bah darat’ itu.

Lihat juga sistem pembentungan. Apakah ada kolam kumbahan untuk mengalirkan semua sisa dari longkang atau parit untuk diproses sebelum dimasukkan kembali ke dalam sungai? Jawapannya hendak cari satu pun susah.

Berdasarkan pengamatan dan tinjauan yang dibuat, kebanyakan longkang bangunan atau taman perumahan hanya berpusing di sekeliling bangunan tersebut sahaja tanpa ada pintu keluar.

Air di dalam longkang tersebut hanya kering dengan panas matahari. Jika tiada matahari dilangit maka bertakunglah air di situ. Jika ditambah air dari langit, maka melimpah ruahlah ia ke jalanan dan ke segenap lembah berhampiran.

Hairan bukan, apakah fungi pihak berkuasa tempatan (PBT)? Bukankah PBT terutamanya Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam mempunyai kuasa untuk bertindak?

Apa sudah jadi dengan Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta 171); Akta Perancangan Bandar Dan Desa, 1976 (Akta 172) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 (Akta 133) Meluluskan Pelan Bangunan?

Apakah tugas MPKB-BRI hanya mengutip cukai pintu, bayaran letak kereta dan cukai perniagaan. Rakyat membayar tetapi pulangannya amat menyedihkan.

Lihat sahaja bagaimana sampah diuruskan, berlonggok dan berbau di sana sini. Jijik dan meloyakan.

Kerajaan PAS Kelantan tidak pernah berusaha kerana mereka di zon selesa dan menggunakan modal agama untuk melepaskan diri.

Golongan itu membuatkan politik menjadi hodoh dan jelek. Jika tidak mampu lepaskanlah, jangan terus biarkan rakyat terseksa.