Pakistan Mungkin Tersenarai Dalam Sekatan Imigresen AS

Pakistan bakal menjadi negara terbaharu yang akan tersenarai dalam sekatan imigresen oleh Amerika Syarikat (AS).

Ketua Turus Staf Rumah Putih, Reince Priebus berkata, pentadbiran Trump sedang menimbangkan kemungkinan untuk meletakkan Pakistan dalam senarai itu.

“Kami mempunyai alasan untuk memilih tujuh negara ini, iaitu berdasarkan pengakuan oleh Kongres dan pentadbiran bekas Presiden Barack Obama bahawa keganasan banyak berlaku di semua negara terbabit,” katanya.

Trump menandatangani arahan eksekutif kontroversi melarang kemasukan rakyat dari Iran, Iraq, Libya, Sudan, Yaman, Syria dan Somalia, selepas mengambil alih pentadbiran.

“Kini, anda boleh menuding kepada lain-lain negara yang mempunyai masalah yang sama, seperti Pakistan.

“Mungkin kami perlu berbuat demikian pada masa depan,” katanya.

Pengakuan terbuka itu adalah yang pertama oleh pentadbiran Trump mengenai kemungkinan meletakkan Pakistan dalam senarai itu.

Ketika ini, rakyat dari Pakistan dan Afghanistan perlu menjalani tapisan dan pemeriksaan yang ketat jika ingin masuk ke AS.

Priebus berkata, setiap arahan eksekutif yang ditandatangani Presiden AS dibuat hasil pelbagai perbincangan dan perancangan.

“Kami tidak akan memberitahu dunia sama ada akan menghentikan larangan itu atau melaksanakan tapisan yang ketat ke atas rakyat dari tujuh negara itu untuk masuk atau keluar dari AS,” katanya. – AGENSI, 30 Januari 2017.