Stesen Minyak Bersubahat Dengan Penyeludup

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan mengesan segelintir kakitangan stesen minyak di negeri itu bersubahat dengan penyeludup petrol ke negara jiran.

Pengarahnya, Datuk Abd. Ghani Harun berkata, aktiviti itu dikesan selepas pihaknya berjaya menahan dua lelaki berusia 30an dalam satu operasi di Tumpat pada 26 Januari lepas.

“Hasil siasatan mendapati kegiatan mereka didalangi kakitangan sebuah stesen minyak.

“Kakitangan itu disyaki bersubahat kerana membenarkan dua suspek mengisi petrol antara 800 hingga 1,000 liter ke dalam sebuah kereta jenis Proton Saga yang telah diubahsuai dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati petrol dijual di negara jiran mengikut timbangan kilogram.

Katanya lagi, siasatan juga mendapati kumpulan penyeludup minyak ini bergerak dari stesen ke stesen bagi memperolehi bekalan sebelum diseludup ke sempadan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan,” katanya. – 30 Januari 2017.