Surat Minta Perlahan Azan Disifat Sebagai Biadab

Tindakan individu atau pihak tertentu yang menulis surat kepada pengurusan Masjid Aman di Taman Kenangan, Kota Bharu meminta supaya memperlahankan azan menerusi pembesar suara disifatkan biadab dan melampau.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, perbuatan itu secara terang-terangan menyentuh sensitiviti agama selain tidak menghormati Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Masjid ini terletak di kawasan yang penduduknya lebih 90 peratus orang Islam. Bukannya kawasan orang Cina. Untuk makluman juga, sebelum kawasan perumahan diwujudkan, masjid ini terlebih dahulu dibina sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Orang Melayu Kelantan selama ini menghormati kepercayaan agama lain dan tidak pernah mempertikaikan amalan mereka. Tindakan penulis surat berkenaan dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian yang kita kecapi ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam surat bertarikh 10 Januari tersebut, penulis mendakwa mewakili kaum Tionghua di Taman Kenangan meminta supaya azan terutama pada waktu subuh diperlahankan dan dialihkan daripada menghala ke arah kediaman mereka.sunny

Surat tersebut ditandatangani oleh ahli perniagaan terkemuka negeri itu, Datuk Seri Sunny Ung.

Mengulas lanjut, Mohd. Fared memberitahu, sebaik sahaja menerima surat tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Aman, Azmi Mahmood segera menghubungi Sunny namun beliau menafikan telah menulis surat seumpama itu.

“Datuk Seri Sunny kata dia tidak buat tetapi kalau betul dia buat, kita minta dia buat permohonan maaf secara terbuka kepada jemaah Masjid Aman serta semua penduduk di Taman Kenangan,” katanya.

Sementara itu, Sunny ketika ditemui pemberita di kediamannya menegaskan berkali-kali bahawa beliau bukan penulis surat itu dan telah membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya mahu buat perkara-perkara begitu yang boleh membangkitkan kemarahan masyarakat Islam. Saya amat menghormati orang Islam,” katanya.

Susulan kejadian itu, PPIM Kelantan telah membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat kesahihan surat terbabit dan mengesan dalang sebenar yang bertanggungjawab menulisnya. – 30 januari 2017.